Friday, 26 December 2014

INDUCED LACTATION (CETUSAN PENYUSUAN SUSU IBU)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Baru-baru ini, saya banyak mendapat kes penyusuan anak angkat (induced lactation) dan kes penyusuan semula (relactation - akan dibincangkan dalam post akan datang). SubhanAllah, ibu-ibu ini sungguh kuat pada hemat saya. Penuh semangat, memohon bantuan kerana yakin kepada diri dan perintah Allah.


Soalan Ibu:

Cikgu, saya ada ambil anak angkat. Sekarang sudah berusia 2 bulan setengah. Saya baru nak mencuba menyusukannya tapi susu ibu tiada.


Adakah berjaya untuk saya hasilkan susu ibu untuk bayi saya? Jika ya bagaimana caranya?


Jawapan Cikgu Susu:


Tahukah anda, ciptaan badan seorang wanita sangatlah unik. Bahagian payudara wanita boleh menghasilkan susu walaupun tidak pernah hamil atau bersalin. MashaAllah, hebat ciptaan Allah.

Penyusuan anak angkat boleh dan tidak mustahil dilakukan, dengan syarat minda, niat dan tindakan ibu selari mengikut cara. Ibu perlu terus kuat dan tekad sehingga proses ini selesai dan susu mula dihasilkan dengan optimum. Proses cetusan penyusuan susu ibu untuk anak angkat dipanggil Induced Lactation.

Proses ini harus dilakukan seawal mungkin jika boleh sebelum bayi dilahirkan lagi supaya ibu dapat menyediakan fisiologi dan hormon dalam badan sama seperti ibu yang baru sahaja melahirkan anak.


Jika ibu tidak sempat membuat persediaan sebelum bayi lahir, usah khuatir. Ibu masih berpeluang menyusukan anak angkat selepas kelahiran.

Jika bayi sudah lahir atau berusia lebih dari 1 bulan:

1. Dapatkan preskripsi dari doktor untuk ubat tertentu yang membantu mempercepatkan penghasilan susu seperti Domperidone. Aturan dan dos pengambilan hendaklah atas nasihat dari doktor.

2. Mula mengepam sekerap setiap 2 jam. Buat permulaan, 1 sesi mengepam hanya 10 hingga 15 minit sahaja sehingga susu mula keluar. Berikan diri ibu masa dalam 2 hingga 3 minggu untuk menghasilkan susu. Gunakan double electric breast pump untuk rangsangan yang setara untuk kedua-dua belah payudara.


Atau jika tidak mampu untuk melakukan sesi memerah setiap 2 jam, lakukan powerpumping setiap malam, pada waktu yang sama setiap malam. Secara konsisten.

3. Ibu lebih digalakkan untuk terus mula menyusukan bayi dari payudara ibu walaupun susu masih belum keluar. Pastikan bayi dapat melekap dengan betul. Ini kerana hisapan bayi lebih efektif dalam merangsang penghasilan susu ibu.

3. Gunakan Supplemental Nursing System untuk membantu merangsang penghasilan susu semasa bayi menyusu terus dari payudara ibu. Dengan cara ini, bayi masih boleh mendapat susu dari tiub pada masa yang sama hisapan bayi merangsang kelenjar susu bekerja untuk hasilkan susu.

4. Susukan bayi di kedua-dua belah payudara ibu. Lakukan pemampatan payudara (breast compression) untuk membantu melancarkan aliran susu.

5. Elakkan penggunaan botol susu dan puting kosong (pacifier) sehingga bayi dapat menyusu dengan betul dan penghasilan susu ibu pada tahap optimum (cukup untuk bayi).

Bagi bayi yang berumur 6 bulan dan ke atas, jika bayi mengalami kesukaran untuk menyusu terus dari payudara ibu, lakukan seperti di bawah untuk merangsang bayi menyusu dari payudara:

1. Elakkan pemberian susu melalui botol susu. Bayi sudah boleh minum dari cawan (open cup). Elakkan juga penggunaan puting kosong.

2. Kerapkan melakukan sentuhan kulit-ke-kulit (skin-to-skin) bersama bayi. Ini termasuklah tidur dan mandi bersama bayi. Bayi dalam lampin sahaja dan ibu tidak memakai baju, bayi di dalam pelukan ibu. Teknik ini membantu menjadikan bayi lebih selesa dan menerima penyusuan dari payudara.

3. Elakkan memaksa bayi untuk menyusu dari payudara. Beri bayi masa untuk belajar menyusu dan menerima penyusuan terus dari ibu secara perlahan-lahan.





Tips tambahan untuk ibu angkat sebagai persediaan penghasilan susu:

1. Mula amalkan pemakanan sihat dan seimbang. Pastikan pengambilan karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan yang cukup setiap hari. Elakkan mengikuti diet yang terlalu ringkas dan tidak sihat.

2. Amalkan pengambilan air suam sekurang-kurangnya 3.5 liter sehari. Elakkan pengambilan kopi, teh dan air bergas yang mengandungi kandungan kafein yang tinggi.

3. Amalkan makanan penggalak susu yang boleh merangsang kelenjar susu dan menambah penghasilan susu ibu seperti kurma, habbatussauda, susu, oat dan sebagainya.



Di samping usaha yang berterusan, teruskan berdoa memohon rezeki dari Allah untuk menyusukan anak dengan lebih mudah dan mohonlah dari Allah untuk dikuatkan hati dan diri. InshaAllah semuanya atas izin Allah.


Cikgu doakan ibu-ibu ini berjaya menyusukan anak mereka selama yang boleh. Amin ya Rabbal alamin.




Zuain Ghani, Cikgu Susu

www.pumponthego.com


Rujukan:


1. Induced Lactation; Dr. Jack Newman's Guide to Breastfeeding.

Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow








Thursday, 18 December 2014

RELUCTANCE TO FEED / BAYI TAK MAHU MENYUSU


Pernah tak ibu atau rakan-rakan ibu mengalami situasi seperti di bawah?

"Baby tak nak menyusu lah bila disuakan puting, baby tak suka susu ibu kot..""Baby saya mengelak dan memalingkan mukanya dari breast saya, tak nak menyusu.."

Tahukah ibu, bayi yang sihat tidak perlu dikejutkan untuk menyusu, mereka akan menunjukkan signal-signal tertentu apabila lapar dan mahukan susu dari ibu. Bayi yang perlu dikejutkan untuk menyusu antara 3 hingga 4 jam sekali jika bayi berada dalam keadaan berikut:


1. Lahir awal atau tidak cukup bulan (premature baby)

2. Jaundis atau penyakit kuning

3. Bayi yang kecil

4. Bayi yang ibunya diberikan sedatif semasa bersalin

Situasi seperti dialog di atas akan menyebabkan ibu berasa sedih dan rendah hati. Seringkali ibu beranggapan yang bayinya tidak mahu menyusu.



SEBAB BAYI TIDAK MAHU MENYUSU

1. Tidak lapar.

2. Bayi sejuk, sakit, kecil dan lemah.

3. Posisi menyusu yang salah.

4. Lekapan yang tidak betul.

5. Ibu bergerak atau menggoncang payudara atau bayi.

6. Bayi sudah terbiasa dengan pacifier atau puting botol susu.

7. Ibu menukar sabun mandi atau wangian badan yang lain.

8. Aliran susu yang terlalu perlahan.

9. Bayi ada sakit mulut atau hidung tersumbat.

10. Bayi selesa dengan sebelah payudara sahaja.

11. Bayi dalam kesakitan.

12. Ibu mengalami bengkak payudara, bahagian tampuk hitam (areola) menjadi agak keras lalu menyukarkan lekapan bayi.

13. Aliran susu yang terlalu laju, bayi menghisap dengan baik pada mulanya tetapi terpaksa melepaskan puting susu kerana menangis atau tersedak.



CARA-CARA MENGATASI MASALAH BAYI TIDAK MAHU MENYUSU

Cara utama untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mencari penyelesaian kepada puncanya. Antaranya:

1. Memperbetulkan POSISI semasa menyusu.

2. Memperbetulkan LEKAPAN bayi semasa menyusu.

3. Memerah atau mengepam susu terlebih dahulu sebelum menyusukan bayi jika aliran susu terlalu laju.

4. Menukar posisi menyusu jika aliran susu terlalu laju (menggunakan posisi duduk dan bersandar bagi ibu).

5. Memerah atau mengepam terlebih dahulu sebelum menyusukan bayi jika payudara terlalu bengkak untuk melembutkan bahagian tampuk hitam
(areola).

6. Rawat bayi jika ada jangkitan pada mulut dan lidah dan dapatkan bantuan dan pemeriksaan dari pegawai kesihatan di klinik.

7. Jika bayi dalam kesakitan, dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor atau pegawai kesihatan.

8. Elakkan menggunakan pacifier atau puting tiruan dan puting susu.

9. Menggalakkan skin-to-skin atau Kangaroo Mother Care   - untuk membantu mencipta hubungan ibu dan bayi
   - memberi peluang kepada bayi untuk explore keadaan payudara ibu mengikut fitrah dan naluri bayi
   - mengambil masa satu jam atau lebih

10. Tidak memaksa bayi menyusu jika bayi menolak dan menangis, sebaliknya TENANGKAN bayi dahulu.
   - Bayi perlu berada dalam keadaan tenang semasa menyusu
   - Jika perlu, perah/pam susu dan berikan susu kepada bayi melalui cawan atau sudu dahulu sehingga bayi dapat belajar menyusu dengan tenang.

Jadi ibu, SENYUM.
Elakkan STRESS dan TERTEKAN.

Susuilah anak walau apapun keadaan dan dugaan.
Pasti ada cara mengatasinya.
Yakinlah, susumu untuk anakmu.Ingatlah, sesungguhnya dalam setiap kesusahan pasti akan ada kemudahan.


.

Salam Cinta Susu Ibu,
Ain, Cikgu Susu Anda





Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

IBU SUSUAN NABI MUSA A.S.


Cerita yang sentiasa buat saya tersentuh hati dan terus bermotivasi untuk meneruskan penyusuan Khalifah kecil kami.
Sesungguhnya cabaran yang dihadapi Bonda Nabi Musa lebih besar jika dibandingkan dengan cabaran kita hari ini. Namun kerana perintah Allah dan percaya dengan janji Allah, Bonda Musa berjaya menyusui  Musa sendiri akhirnya.
Nabi Musa A.S.
Beliau si comel kesayangan Bondanya
Lahir tatkala diperintahkan semua bayi lelaki dibunuh oleh Firaun
Getar hati bonda Musa,
Berjayakah bayinya itu hidup?
Apakah takdir si kecil itu?
Tetapi kerana cinta Bonda Musa kepada Allah yang paling utama, perintah Allah didahului:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
(Al-Qasas 28:7)

Maka dihanyutkan Musa di dalam peti setelah disusuinya,
Musa dalam keadaan senang dan kenyang,
Debar sungguh dalam hati Bonda Musa,
Tawakal sesungguhnya kepada Allah,
Yakin dengan janji Allah yang Satu.
Takdir Allah membawa hanyutan Musa ke istana Firaun,
Wajah Musa menawan hati Asiyah, permaisuri hati Firaun,
Yang ketika itu belum dikurnia cahaya mata,
Firaun tewas dengan pujuk rayu isterinya Asiyah,
Lalu dibela Musa seperti anak sendiri.

Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.
(Al-Qasas 28:8)
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) penyejuk mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).(Al-Qasas 28:9)

Bonda Musa merasai kehilangan Musa,
Hatinya merasa kosong,
Hampir sahaja dia membongkarkan rahsianya,
Kuasa Allah, kekuatan hati dikurniakan buat Bonda Musa,
Supaya tidak terus bersedih,
Dan terus percaya dengan janji Allah.

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
(Al-Qasas 28:10)

Perintah Bonda Musa kepada kakak Musa,
Intiplah si adik untuk dikhabarkan kepada Bonda Musa,
Supaya lega hatinya.

Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya”. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.
(Al-Qasas 28:11)

Apabila Musa mula menangis kerana lapar,
Resah gelisah lah Firaun dan Asiyah,
Diperintahkan Firaun untuk dicarikan ibu susuan bagi Musa si penyejuk mata Asiyah dan Firaun itu.
Seorang demi seorang ibu datang,
Mencuba nasib memijakkan kaki ke istana Firaun,
Namun semuanya ditolak Musa,
Atas kehendak Allah sendiri.

Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”
(Al-Qasas 28:12)

Diketahui oleh kakak Musa, dikhabarkan kepada orang-orang Firaun dan Asiyah,
Untuk dikenalkan kepada mereka, seseorang yang baik hati dan akhlaknya,
Yang pasti menjaga Musa dengan sungguh sayang,
Namun tidak diceritakan wanita itu adalah bondanya sendiri,
Sampailah perkhabaran ini kepada Bonda Musa,
Terus mendatangi Musa di istana,
Takdir Allah membawa Musa kepada Bondanya,
Agar tenang dan gembira bersama Bondanya,
Jadilah dia ibu susuan Musa.

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).
(Al-Qasas 28:13)

Ya
Ibu susuan Nabi Musa A.S. adalah ibu kandung beliau sendiri,
Benar cantik aturan Allah sebaik-baik Pengatur,
Musa membesar menjadi seorang yang kuat lagi bijaksana,
Di sisi Bondanya, dengan susu Bondanya.

Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Al-Qasas 28:14)
.
Sedarilah ibu-ibu, Allah Maha Pemberi Rezeki, Pengasih dan Penyayang,
Setiap yang diatur pasti ada hikmah disebaliknya
Jadikan Bonda Musa sebagai inspirasi,
Supaya tidak mengalah mahupun berserah,
Tunaikan hak anak kita.


Salam Cinta Susu Ibu,
Zuain Ghani, Cikgu Susu Anda




Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow


NURSING IN PUBLIC (N.I.P.) : MAHU TAPI MALU


Beberapa minggu lepas saya terbaca satu artikel tentang Nursing in Public atau menyusu di khalayak umum.

Ibu semua pernah tak merasa leceh atau susah nak berjalan-jalan dengan bayi yang menyusu susu ibu? Ada terfikir perlukah bawa susu yang telah diperah dan terfikir macam mana nak panaskan susu itu nanti?

Ada rasa malu nak menyusu di khalayak umum? Pernah tak terjadi situasi begini?

Bila si comel menangis mahukan susu, kita mula mencari bilik menyusu (nursing room). Bila bilik menyusu penuh, kita panik. Kita mula keluarkan nursing cover untuk susukan bayi. Bayi pula dah tak tenang, menangis lebih kuat. Akhirnya, kita berserah, padamkan hasrat nak window shopping atau berjalan-jalan di shopping mall. Berjalan masuk ke tempat letak kereta dan menyusu dalam kereta.

Haaa... percaya tak? cikgu susu pun pernah mengalami situasi seperti ini. Tetapi apa yang menyebabkan pandangan dan sikap saya berubah adalah teguran dan sokongan dari suami saya sendiri.

Kata beliau, "Buat apa nak malu-malu kalau kita tak buat perkara yang salah, hak anak kita perlu ditunaikan bila diperlukan."

Ibu, kita tak perlu malu untuk tunaikan hak anak kita walau di mana sahaja kita berada. Ini tanggungjawab kita ya ibu. Bayi akan lebih selesa menyusu terus dari kita dan bayi kita akan lebih tenang dan seterusnya mudah diuruskan.

Ibu-ibu perlu tahu definisi sebenar penyusuan di khalayak umum. Ia tidak bermaksud menyusu dengan mendedahkan keseluruhan bahagian payudara kita. Kita masih boleh menyusukan anak kita dengan memelihara aurat kita iaitu dengan membuka sebahagian kecil bahagian payudara sahaja (tampuk hitam) semasa menyusu. Nursing in public juga boleh dilakukan dengan lebih tertutup menggunakan nursing cover

Ibu-ibu, susuilah anak kita walau dimana kita ketika itu. Pastikan sebagai seorang wanita muslim, kita masih memelihara aurat semasa menyusu, mendapat keizinan suami dan niat kita bukanlah untuk membanggakan diri kerana boleh dan mampu menyusukan anak kita.

Cadangan cikgu susu untuk memudahkan N.I.P atau penyusuan di khalayak umum dan pada masa yang sama ibu masih menjaga batas aurat ibu adalah:

1. Memakai nursing inner atau nursing camisole yang mempunyai akses di bahagian payudara dan areola sahaja.

2. Memakai baju mesra menyusu (nursing friendly). Biasanya berbutang atau berzip di bahagian dada untuk memudahkan akses kepada penyusuan.

3. Menggunakan nursing cover atau selendang untuk menutup dada dari pandangan umum semasa menyusu.

4. Dalam sesetengah kes, bayi tidak sukakan nursing cover atau selendang, cikgu susu galakkan ibu memakai baju menyusu. Baju menyusu sendiri mempunyai akses penyusuan tanpa butang atau zip dan ada lapisan kain di bahagian dalam untuk mengelakkan pendedahan kulit badan atau payudara yang banyak.

5. Elakkan merasa panik, malu atau stress. Tahukah ibu bayi kita dapat mengesan perasaan dan emosi kita semasa dalam dakapan kita. Bila ibu stress, penyusuan takkan berjalan dengan lancar dan kerana bayi kita juga menjadi tidak tenang seperti kita.

Apa yang ibu perlu lakukan? Bertenang dan senyum selalu. Bayi kita pun akan turut merasa gembira disusukan.

Cikgu sendiri lebih gemar memakai baju menyusu, kerana akses yang lebih mudah dan dapat menyusu dengan lebih discreet. Anak-anak saya pula memang tidak suka menyusu dengan nursing cover atau selendang. Jadi sejak menyusukan anak, cikgu susu ada hobi baru, iaitu suka mengumpul baju-baju menyusu.

Jom kita menyusu, kalau kita mahu, tepikan malu itu ya.

Semuanya akan lebih senang jika kita sendiri memudahkan caranya. InshaAllah.


.


Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda



Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow





Tuesday, 16 December 2014

PUTING KOSONG GANGGU PENYUSUAN SUSU IBU



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM




Ramai yang bertanya cikgu, ada tak penyelesaian untuk bayi yang suka tidur di payudara ibu, terutama di awal kelahiran.

Boleh tak saya beri bayi saya puting kosong (pacifier) ye cikgu?

Jawapan Cikgu Susu:

Penyusuan susu ibu (breastfeeding) itu sendiri adalah cara terbaik untuk tidurkan bayi kita. Tanpa perlu helah, teknik atau tips menidurkan bayi yang lain. Breastfeeding adalah cara paling mudah untuk kita tidurkan bayi kita. Effortless, tireless and calming. Tiada cara lain yang dapat menenangkan dan menidurkan bayi yang keletihan melainkan dengan menyusukannya.

Ya, bayi kita memang akan suka tidur dan berada di bahagian dada dan payudara ibu kerana itulah zon paling selamat bagi mereka.

Rasa manis dan suam susu ibu, 
setiap hisapan dan tegukan di payudara ibu, 
kehangatan pelukan ibu dan belaian ibu -
semua inilah perfect setting yang Allah kurniakan kepada setiap ibu yang menyusukan anaknya.
Ya bayi lebih senang tidur bila disusukan.

Ibu, ini nikmat menjadi ibu yang Allah kurniakan kepada insan terpilih. Anda insan itu. Manfaatkan masa dan setiap detik bersama bayi kita sebaiknya.

Dari rasa manis dan suam susu kita itu, bayi kita merasa nikmat makanan sempurna mengalir di setiap pembuluh darah dalam badannya, dia kenyang lebih lama dan tidur lebih lama. Bayi kita akan mendapat cukup susu yang dia mahukan, tidak terlebih dan tidak kurang.

Bayi kita sebenarnya merangsang penghasilan susu ibu dalam setiap hisapan dan tegukannya pada payudara kita. Supaya badan kita akan terus menghasilkan susu tanpa putus.

Di setiap pergerakan hisapan (suckling motion) yang dilakukan anak kita semasa menyusu sebenarnya dia melatih otot-otot muka dan rahang dia bekerja. Hasilnya bentuk muka lebih cantik, pertumbuhan gigi lebih baik dan mudah menguasai percakapan kelak.

Pelukan hangat dan belaian kita kepada anak kita semasa dia sedang menyusu sambil lena didakap kita sebenarnya melatih minda separa sedarnya tentang kasih sayang dan keselamatan yang diberi ibu. Perasaan ini yang memupuk kestabilan emosinya dan kemandiriannya selama dia membesar nanti.

Apabila ibu menggunakan puting kosong, kita telah sedikit sebanyak mengganggu lumrah kelahiran bayi (baby's natural habit):

1. Mengganggu stimulasi pergerakan otot-otot muka semasa penyusuan dari ibu kerana menggunakan pacifier.


2. Mengganggu penyusuan susu ibu, di mana bayi tidak mendapat susu yang diperlukannya seperti semasa dia menyusu terus dari ibu.


3. Jadi bayi akan kerap terjaga dan tidak dapat tidur lena atau lebih lama.

4. Penyusuan susu ibu menjadi satu aktiviti yang penuh tekanan dimana sepatutnya ia satu detik yang menenangkan dan menggembirakan.

5. Dalam jangka masa panjang, penghasilan susu akan berkurang kerana kurangnya kehendak kepada penyusuan dari ibu.


Ibu-ibu, tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Pasti ada hikmah disebaliknya walaupun tanpa kita sedar atau nampak jelas di depan mata.

Teruskan penyusuan terus dari payudara. Penyusuan jadi lebih tenang dan mudah.


.


Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda






Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow





Friday, 5 December 2014

BABY NAK MENYUSU DI SEBELAH PAYUDARA SAHAJA?


Apabila bercakap tentang menyusukan bayi, tak lengkap kalau tak sentuh bab posisi semasa menyusukan bayi. Tahukah ibu bukan posisi bayi sahaja yang perlu dititikberatkan, tetapi posisi ibu juga.

Teringat kisah penyusuan anak sulung saya dahulu, Aariz. Kami (saya dan suami) masih muda ketika itu, ilmu penyusuan sangatlah terhad, sehinggakan cara memegang bayi semasa mahu menyusu pun kami tak tahu. Maka bermulalah adegan: "awak tengok saya, saya tengok awak, baby Aariz menangis.."

Jadi, suka untuk saya tekankan kepada ibu yang kita perlu belajar dan tahu cara memegang bayi dan posisi yang betul dan selesa kerana perkara ini akan memastikan penyusuan berjalan dengan gembira.

Selain itu, kita dapat menyelesaikan masalah penyusuan tertentu dengan menukar dan memvariasikan posisi semasa menyusu.




Berikut adalah contoh beberapa posisi semasa menyusu yang biasa kita amalkan.

Posisi yang paling saya suka dan sarankan untuk ibu biasakan adalah POSISI FOOTBALL HOLD, atau dikenali juga dengan clutch hold. Posisi ini biasa digalakkan untuk ibu yang bersalin secara pembedahan supaya tidak menekan perut (bahagian luka pembedahan), untuk ibu yang melahirkan kembar dan amat sesuai untuk tandem pumping (sebelah menyusu, sebelah mengepam).

Football hold juga inshaAllah efektif dalam membantu bayi yang mempunyai masalah mahu menyusu di sebelah payudara sahaja. Mahu tahu caranya, tonton video di bawah ya:




Posisi Ibu semasa menyusu

1. Pastikan ibu dalam keadaan selesa dan seeloknya dalam keadaan bersandar.
2. Bawakan bayi ke dalam pelukan ibu, bukannya payudara ke arah bayi (BABY TO BREAST, NOT BREAST TO BABY).

Posisi Bayi semasa menyusu

1. Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa.

2. Bayi memusingkan keseluruhan badannya (kepala, badan dan punggung) semasa menyusu dan tidak memusingkan kepala dan leher sahaja.

3. Buka kain bedung bayi (jika bayi dalam bedungan), untuk memastikan kedudukan anggota badan bayi yang betul sebelum menyusu.

Kedudukan kita dan bayi yang betul semasa menyusu akan mengelakkan kita mengalami masalah luka puting atau sakit belakang semasa menyusu. Bayi juga akan dapat menyusu dengan selesa dan mendapat susu yanhg cukup untuk tumbesarannya.

Banyak lagi info penyusuan akan saya kongsikan dalam post seterusnya. Teruskan membaca!






Salam Cinta Susu Ibu,
Ain,
Cikgu Susu Anda




Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow



.











Wednesday, 3 December 2014

ILMU DAN PENYUSUAN, IBADAH SEORANG IBU

Assalamualaikum dan salam sejahtera mommies,

Blog ini khas untuk anda semua. Ya, ibu-ibu.

Saya sendiri seorang ibu yang menyusukan anak kecil saya. Alhamdulillah, dugaan dan cabaran semasa menyusukan mereka tidak saya anggap sebagai halangan untuk meneruskan penyusuan.

Kerana bagi saya, ianya satu ibadah dan perjuangan kita, mengumpul saham akhirat, membesarkan ahli-ahli syurga dengan sebahagian dari diri kita, SUSU IBU.

Melalui blog ini, saya akan coretkan kisah penyusuan saya, apakah kesilapan saya yang lalu yang membawa saya kepada saya hari ini. Saya juga akan berkongsi dengan semua, permasalahan penyusuan yang biasa kita anggap sebagai halangan, walaupun ianya salah satu bentuk dugaan dalam perjalanan kita sahaja.

Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Dan bagi masalah penyusuan yang diterima, saya akan kongsikan jawapan dengan anda semua.

Stay tune mommies!



Salam Cinta Susu Ibu,
Ain,
Cikgu Susu Anda




Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow
.