Thursday, 26 February 2015

TONGUE TIE: PUTING SAKIT DAN LUKA YANG TERUK DAN BERPANJANGAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Majoriti masalah penyusuan bermula dari posisi dan lekapan semasa menyusu yang tidak betul. Alhamdulillah, kebanyakan ibu yang menghubungi cikgu dengan kes seperti ini boleh menyusukan dengan baik selepas sesi personal consultation bersama cikgu dan latihan sendiri bersama bayi.

Tapi, bagaimana pula dengan ibu yang masih mengalami sakit dan luka yang teruk dan berpanjangan pada bahagian puting susu?

Satu faktor yang jarang sekali ibu tahu adalah mengenai anatomi atau keadaan lidah dan bibir bayi.  Sebahagian kecil dari bayi, yang masih tidak dapat menyusu dengan baik mempunyai keadaan lidah yang dipanggil TONGUE TIE

Tongue tie adalah keadaan dimana ada satu lapisan kecil yang mengikat bawah lidah dengan dasar mulut bayi. Lapisan kecil ini dipanggil lingual frenulum. Sekali pandang, bayi kelihatan normal sahaja, tetapi apabila bayi membuka mulut atau menangis, lidahnya berbentuk hati (heart shape) seperti di dalam gambar di bawah. 


Lidah terikat pada dasar mulut.


Ini menyebabkan pergerakan lidah bayi terhad dan tidak dapat melekapkan lidah di keseluruhan bahagian tampuk hitam (areola) ibu. Jadi, bayi hanya akan menyusu pada puting susu sahaja. Ingat kan pesan cikgu dalam post yang lepas? BABY IS BREAST FEED, NOT NIPPLE FEED. 



Lidah bayi tidak dapat merangkum bahagian areola sepenuhnya.



Apa akan terjadi jika bayi masih tidak melekap dengan betul dan masalah ini tidak ditangani?

Kesan berantai akibat dari masalah tongue tie:

1. Puting susu ibu sakit dan luka setiap kali menyusu.
2. Bayi tidak mendapat susu yang mencukupi kerana hisapan yang tidak efektif.
3. Susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara.
4. Ibu mengalami bengkak susu atau jangkitan kepada payudara.
5. Kemeruduman susu.



USAH BERSEDIH, SETIAP CABARAN PASTI ADA JALAN PENYELESAIANNYA

Ada juga ibu yang tidak tahu tentang tongue tie terus mengalah dan memberikan susu formula. Atau terus bersedih dengan anggapan

"baby tak dapat menyusu sebab lidah pendek.."

"anak saya memang tak pandai menyusulah.."

"saya memang ditakdirkan tak boleh menyusukan anak.." dan sebagainya

Tambahan pula dengan keadaan puting yang sakit dan luka itu. 

Sifu cikgu dulu ada menyarankan beberapa posisi menyusu untuk mengurangkan kesakitan semasa menyusu bagi bayi yang mempunyai tongue tie. Ibu boleh cuba posisi di bawah untuk membantu bayi membuka mulut dengan lebih luas dan mencuba mendapat lekapan yang baik.



Over your shoulder position: bayi menyusu dari atas bahu ibu



Upright/sitting up position: Bayi duduk di riba ibu. (pastikan ibu menyokong bahagian badan dan leher bayi)



FRENECTOMY

Tahukah ibu, sebenarnya bayi yang mengalami tongue tie boleh melalui satu pembedahan minor yang sangat simple (yang dipanggil Frenectomy). Frenectomy adalah prosedur untuk menggunting lapisan kecil lingual frenulum tadi. 

Selepas bahagian itu dipotong, lidah bayi sudah tidak terikat lagi dengan dasar mulut bayi. Maka, pergerakan lidah bayi tidak lagi terhad. Dengan latihan lekapan yang betul, bayi pasti akan dapat menyusu dengan baik dan masalah sakit dan luka puting dapat dicegah.

Jadi ibu, teruskan bersemangat untuk menyusukan anak kita. Sebelum membuat anggapan-anggapan sendu dapatkan dahulu bantuan dari kaunselor laktasi berdekatan untuk melihat cara lekapan dan posisi bayi dahulu. Atau jika sudah periksa keadaan lidah bayi boleh terus mendapatkan rawatan untuk melakukan frenectomy. 

Sifu cikgu (Sisters di Unit Laktasi PPUM) mengesyorkan bayi tongue tie untuk mendapatkan rawatan dari Dr. Koe, seorang Pakar Kanak-kanak dan seorang Pakar Laktasi yang sangat berpengalaman. 

Berikut adalah sedikit informasi untuk ibu:

Koe Child Clinic
Address: 73, Jalan Mega Mendung, Kompleks Bandar, 5th Mile Jalan Klang Lama, KL
Contact no.: 03-7983 0539
Weekend operating hours: Saturday 9am – 12.30pm




Susu ibu hak anak kita. Kuatkan semangat, cekalkan hati ya ibu.






Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
cikgususu.com






Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow


Monday, 16 February 2015

APAKAH RUTIN SEORANG IBU MENYUSU?






Assalamualaikum dan Salam sejahtera mommies,


Tahukah anda bahawa anda seorang yang sangat special kerana anda seorang ibu yang menyusukan anak anda. Hanya seorang ibu sahaja tahu betapa kesukaran dan keazaman yang anda perlukan untuk menjayakan penyusuan.

Anda juga special kerana anda BUKAN seperti orang lain. Anda mempunyai jadual harian yang berbeza dengan orang lain. Selain mendapat senyuman dan pelukan ikhlas dari si kecil kesayangan, anda ada RUTIN IBU MENYUSU. Rutin ini juga sangat istimewa kerana ia mengikut kesesuaian tubuh badan anda dan bayi anda sendiri.



Apakah RUTIN IBU MENYUSU?

Di sini akan saya terangkan secara ringkas apakah perkara-perkara yang seorang ibu menyusu perlu lakukan dalam kehidupan seharian bagi memastikan MILK SUPPLY yang mencukupi dan meneruskan penyusuan dengan lebih lama (inshaAllah 2 tahun ya).

Seorang ibu menyusu perlu:

1. Kekerapan
Menyusu bayi on demand atau bila-bila sahaja bayi menunjukkan signal mahukan susu bila bayi bersama ibu ATAU memerah payudara sekerap 2-3 jam sekali di tempat kerja.

Satu sesi penyusuan untuk bayi biasanya berlangsung dalam 20-45 minit.
Satu sesi memerah yang optimum pula anda harus lakukan dalam masa 20-30minit untuk berjaya mengosongkan payudara dengan efektif. Gunakan pam susu yang sesuai dan dengan cara yang betul.

2. Makanan sihat.
Mengamalkan pemakanan sihat iaitu pengambilan makanan berasaskan karbohidrat, protein, vitamin, mineral (termasuk sayuran dan buah-buahan) yang secukupnya setiap hari. Ini penting supaya ibu dapat memastikan keadaan kesihatan ibu sentiasa TIP TOP dan dapat menghasilkan susu yang cukup untuk bayi kerana, BILA IBU KURANG SIHAT, PENGHASILAN SUSU AKAN TERGANGGU.

3. Air yang banyak.
Memastikan pengambilan air sekurang-kurangnya 3.5 Liter sehari. Minum dalam kuantiti yang sedikit-sedikit tetapi kerap. Ibu digalakkan meminum AIR SUAM dengan lebih banyak dan elakkan air sejuk atau ais.

4. Kurangkan berminyak dan pedas.
Mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan pedas kerana badan ibu akan memerlukan lebih banyak air untuk mencerna makanan ini, jadi rizab air dalam badan ibu sedikit sebanyak akan terganggu. Banyakkan pengambilan makanan berasaskan sup, rebus dan stim.

Awas dengan pengambilan makanan ibu.  Sesetengah makanan boleh menjadi 'milk killer' ibu jika diambil secara berlebihan kerana tindak balas dengan tubuh badan kita. Saranan saya, amalkan pengambilan secara sederhana, untuk mengelakkan makanan tertentu memberi kesan kepada penghasilan susu ibu.

Ibu bebas untuk bereksperimen untuk mengetahui makanan apakah adalah 'milk killer' untuk ibu.

5. Waktu air diminum.
Minum air setiap kali sebelum menyusu dan semasa menyusu dan memerah jika dahaga, selepas setiap kali menyusu atau memerah. Minum air suam 1 gelas (150ml-200ml) setiap 1 jam.
PERINGATAN: MINUM DALAM KUANTITI YANG SEDIKIT PADA SATU MASA.

6. Tidur berkualiti.
Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti kerana ibu yang menyusukan anak menggunakan banyak tenaga untuk penghasilan susu.

7. Kesihatan diri.
Jaga kesihatan tubuh badan ibu. Anda orang paling penting dalam keluarga. Walaupun anda seorang yang kuat mental dan rohani, belum pasti ia cukup. Jika kerap merasa sangat letih, tukar corak pemakanan anda, dan amalkan suplemen penambah tenaga yang dirasakan sesuai.

8. Hubungan dengan suami.
Syurga isteri di bawah telapak kaki suami. Redha suami adalah redha Allah. Suami itu keramat kita, jada hubungan dengan dia. Berkomunikasi lah dengannya dan mohon sokongannya untuk berjaya.

9. Bergantung kepada Allah.
Susu ibu itu rezeki dari Allah. Mahu susu yang cukup dan banyak perlu memohon kepada yang Maha Pemberi Rezeki. Jaga hubungan dengan Allah, minta pada-Nya (selepas berusaha terlebih dahulu), InshaAllah ada ganjarannya.

Jadikan rutin di atas amalan setiap hari, dan patuhi rutin ini sepanjang penyusuan si comel. InshaAllah anda akan lebih gembira, tenang dan dapat menghasilkan susu yang cukup untuk bayi.


.


Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
cikgususu.com






Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow


Wednesday, 4 February 2015

TAK BOLEH MENYUSU SEMASA DEMAM?








Assalamualaikum dan hai ibu semua,

Sejak kebelakangan ini, cikgu diuji dengan demam panas. Sekejap surut, sekejap ada balik demamnya. Namun, syukur Alhamdulillah masih dikurniakan kudrat untuk meneruskan penyusuan Aydin seperti biasa.

Sesekali cikgu ada juga menerima soalan dari ibu-ibu, boleh ke menyusu semasa kita demam? Sebab ada orang kata tak boleh sebab nanti bayi berjangkit dari kita pula.

Tahukah ibu, sebenarnya kita masih boleh menyusukan anak kita seperti biasa walaupun kita sedang mengalami demam biasa seperti panas badan, batuk atau selesema. Jika demam itu menyebabkan badan terlalu lemah dan memerlukan rawatan, ibu hendaklah membuat pemeriksaan selanjutnya dari doktor.

Sebenarnya, penyusuan semasa ibu mengalami demam biasa tidak akan memudaratkan bayi malah ia membantu bayi menguatkan lagi sistem imunisasi badannya. Ini kerana semasa kita demam, badan kita sedang menghasilkan antibodi untuk melawan "kuman jahat" itu. Penyusuan semasa demam, akan memindahkan sel-sel antibodi yang kuat ini ke badan si comel kita. Jadi badan anak kita akan terlindung dari kuman-kuman yang menyebabkan demam ini.

Memetik petikan Dr. Zubaidi di laman blog beliau, apabila ibu demam akan berlaku reaksi immunologi iaitu proses pembentukan antibodi yang dipercepatkan oleh suhu tinggi yang dialami badan ibu semasa demam dan antibodi ini disalurkan kepada bayi melalui susu ibu. 

MashaAllah, indah sekali ciptaan susu ibu kan! Walaupun ibu sedang sakit demam, ibu masih menyalurkan nutrisi dan ubat untuk bayi yang disusui supaya bayi terus sihat dan kuat.




Cikgu nak kongsikan tips yang diamalkan semasa demam panas dan masih teruskan penyusuan:

1. Minum air dengan sangat banyak. (Read: sangat sangat banyak)

Bila kita demam panas, suhu badan akan meningkat berbanding suhu biasa. Jadi pastikan pengambilan air yang banyak untuk menstabilkan suhu badan yang tinggi dan mengelakkan dehidrasi badan. Minum air apabila rasa dahaga dan sediakan satu bekas air bersama ibu.

Minum air suam, jus buah-buahan suam dan minuman bermalt panas untuk melancarkan pengaliran bendalir dalam badan. Tanda-tanda badan dapat air yang cukup adalah urin jernih dan tidak berbau.

2. Mesti makan pada waktunya. 

Biasanya bila kita demam, selera makan memang merudum. Tapi demi si kecil tersayang ibu perlu makan ya, sekurang-kurangnya bubur nasi bersama kentang dan kurma sebagai snack. Nasi dan kentang sebagai sumber karbohidrat dan kurma sebagai sumber tenaga segera. Ini dapat memastikan ibu masih dalam keadaan yang tidak lemah untuk meneruskan penyusuan. 

Elakkan pengambilan makanan berminyak dan pedas. 

3. Mesti menyusukan bayi seperti biasa dan pam mengikut jadual.

Walaupun dalam keadaan demam, susukan bayi seperti biasa dan bagi ibu bekerja mesti pam mengikut jadual supaya masih kekalkan paras prolaktin seperti biasa, ini untuk mengelakkan susu merudum apabila ibu dah pulih dari demam dan mula bekerja nanti.

4. Dapatkan rehat yang berkualiti.

Lumrah ibu menyusu, amat jarang sekali kita mendapat tidur yang panjang umpama "sleeping beauty" jadi pastikan kita manfaatkan masa rehat dengan tidur yang berkualiti walaupun tempoh masanya singkat. Elakkan memasang televisyen atau radio semasa tidur. Seelok-eloknya, pasangkan bacaan Al-Quran atau zikir kerana gelombang dari alunannya berupaya merangsang penyembuhan badan dari dalam. 

5. Amalkan pemakanan natural remedies untuk mempercepatkan penyembuhan.

Pengambilan pemakanan sebagai booster penyembuhan yang sesuai dengan tubuh amat digalakkan. Cikgu mengamalkan pengambilan Minyak Kelapa Dara untuk bantu badan pulih dari demam.

6. Jaga kebersihan diri.

Pastikan ibu mandi seperti biasa. Elakkan batuk atau bersin berdekatan atau pada muka si kecil kita. Cuci tangan dan sabun setiap kali keluar dari tandas.

Jadi, ibu-ibu masih dapat menyusukan anak kita seperti biasa ya. Sekuat mana kita jaga badan kita, kadang-kadang akan diuji dengan demam demam manja, peringatan dari Allah, salah satu cara untuk menyucikan diri dari dosa juga.

Senyum sokmo ya mommies!






Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
PumpOnTheGo





Rujukan:

1. drzubaidi.com
2. Healing by Listening to Quran: kaheel7.com




Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow
Nak Konsultansi Penyusuan secara personal? Hubungi saya, Zuain Ghani: 0193841569 (Whatsapp/ Telegram / SMS/ Call) atau email zuainghani@gmail.com untuk temujanji.