Wednesday, 27 May 2015

6 TIPS MENYUSU UNTUK PUTING JENIS RATA DAN TENGGELAM

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Soalan ibu: 

"Assalamualaikum cikgu, saya akan bersalin tak lama lagi, tetapi saya risau jika tak dapat menyusu sebab puting susu saya jenis flat. Macam mana ye?"



Jawapan Cikgu Susu:


Setiap ibu mempunyai saiz payudara dan bentuk puting yang pelbagai. Tahukah anda, bayi boleh menyusu dari hampir kesemua jenis puting atau payudara ibu.


Bentuk dan jenis puting payudara

Puting rata (Flat Nipple)

1. Puting payudara ibu mengalami perubahan bentuk semasa hamil. 

Biasanya puting menjadi lebih panjang (protractile) dan elastik untuk memudahkan penyusuan bayi nanti, ini lebih penting dari bentuk dan saiz payudara.

2. Sebenarnya tiada rawatan khas yang diwajibkan bagi puting jenis rata dan tenggelam (inverted) semasa hamil kerana fakta nombor 1 (di atas). 

Tetapi antara solusi yang ibu boleh lakukan adalah mengamalkan memakai cangkerang payudara (breast shell) di trimester terakhir kehamilan (8 bulan ke atas) selama hanya beberapa jam sahaja dalam sehari untuk membantu mengeluarkan puting, atau menjadikan puting timbul (protrude).

3. Biasanya keadaan puting payudara menjadi lebih kenyal dan senang meregang semasa kehamilan dan selepas bayi dilahirkan. Jadi walaupun kelihatan rata, bayi masih boleh menyusu dengan baik apabila disusui dengan cara yang betul.

Mengikut pengalaman saya mengendalikan masalah pelekapan bayi, ibu yang mempunyai puting rata, kecil atau tenggelam lebih mudah untuk menyusu berbanding ibu yang mempunyai puting jenis besar dan panjang, ini lebih mencabar. 


Breast shell




Puting panjang atau besar (Long or Big Nipple)

1. Antara masalah yang biasa ibu hadapi dengan puting jenis ini:

- bayi sedikit sukar untuk merangkum keseluruhan kawasan areola ibu.
- sesetengah bayi hanya menyusu di bahagian puting sahaja, menyebabkan ibu sakit atau luka.

2. Ibu perlu melengkapkan diri dengan teknik dan posisi penyusuan yang sesuai untuk membantu bayi melekap dengan betul. Posisi yang digalakkan adalah posisi mendakap (football hold) atau posisi silang buai (cross cradle).

3. Jika bayi kelihatan seperti mahu muntah, atau muak kerana puting ibu yang besar, ibu boleh menggantikan penyusuan dengan pemberian susu melalui cawan dan mencuba semula penyusuan terus dari payudara pada sesi seterusnya.

4. Beberapa hari di awal penyusuan mungkin anda akan mengalami sedikit luka pada puting tetapi ia tidak akan berlarutan jika bayi diizinkan untuk terus praktis dan belajar menyusu dengan baik.

5. Bayi membesar dengan cepat begitu juga keupayaannya untuk membuka mulut dengan lebih luas. Ini akan membolehkan bayi menyusu dengan lebih efektif dan betul.


Football hold




Puting tenggelam (Inverted Nipple)

1. Mempunyai puting jenis ini tidak selalunya menjadi masalah kerana bayi menyusu dari areola, dan bukan pada puting.

2. Seperti puting rata, ibu yang mempunyai puting jenis ini boleh juga mengamalkan pemakaian cangkerang payudara pada trimester terakhir untuk membantu mengeluarkan puting.




Saranan untuk ibu yang mempunyai puting jenis rata, panjang/besar dan tenggelam selepas bersalin:


1. Kerapkan melakukan sentuhan kulit ke kulit selepas kelahiran bayi untuk membiasakan bayi dengan bahagian payudara ibu.

2. Benarkan bayi melakukan eksplorasi di bahagian payudara ibu sekerap mungkin.

3. Susukan bayi dengan kerap supaya bayi dapat belajar cara penyusuan dan master skill lekapan dengan lebih cepat.

4. Gunakan posisi mendakap (football hold) atau posisi silang buai (cross cradle) untuk membantu mendapatkan lekapan yang betul dan penyusuan yang lebih selesa.

5. Bagi puting jenis rata dan tenggelam lakukan breast massage, penggunaan picagari (syringe), menggunakan nipple puller atau menggunakan pam susu sebelum penyusuan untuk membantu mengeluarkan puting.

6. Teruskan usaha dan jangan cepat berputus asa kerana jenis puting bukan punca kegagalan anda menyusukan bayi anda.



Nipple Puller





Sertai Seminar PRAKTIKAL Mudahnya Menyusu cikgu kalau betul-betul nak berjaya menyusu. Seminar seterusnya di:

07 Jun - Kelana Jaya
13 Jun - Kuching, Sarawak
14 Jun - Kota Kinabalu, Sabah

Daftar di sini: mudahnyamenyusu.gr8.com



Cikgu Susu Anda
www.pumponthego.com







Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow




Tuesday, 26 May 2015

7 TIPS BERJAYA MENYUSU SELEPAS BERSALIN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM





Assalamualaikum

Saya teringat detik-detik mengandungkan anak pertama dan kedua saya beberapa tahun lepas. Walaupun perasaan syukur dan teruja itu sama dalam kedua-dua kehamilan, ada yang sangat berbeza.

Kehamilan Aariz, anak sulung saya adalah kehamilan yang tidak dijangka kerana selepas beberapa bulan melangsungkan perkahwinan dengan suami, saya disahkan hamil. Sepanjang 37 minggu membawa Aariz ke mana sahaja saya pergi, sentiasa berteman. Saya berborak-borak dengannya saat menempuhi "jam-tart-nenas", menyanyi dan berzikir bersama-sama. Jarak lokasi tempat tinggal dan pejabat saya menyebabkan kami banyak menghabiskan masa bersama di dalam kereta (ya, tinggal di Rawang dan bekerja di Petaling Jaya), dan ya of course bersama Abi nya jua. 

Kehamilan Aariz, membuatkan kami amat teruja dengan segala jenis persiapan sebelum menyambut kelahirannya, biasalah kali pertama jadi Ummi dan Abi kan. (~hihi~). 

Baju-baju yang comel kiut-kiut, tilam dan bantal bayi, semua dah sedia. Ya, sebab sangat-sangat excited

Sehinggakan, saya terlupa dan memandang mudah mengenai penyusuannya selepas lahir nanti. (~ Masa ni, tepuk sendiri dahi, sebab mak dah siap pesan awal-awal mengenai penyusuan bayi, tapi saya hanya mengiyakan sahaja, tiada tindakan selanjutnya di situ. Menyesal tak ikut cakap mak. ~)

Saya tidak bersedia sepenuhnya untuk menjadi ibu, saya tidak berusaha mendapatkan ilmu yang lengkap dan betul tentang penyusuan susu ibu. Kerana waktu itu, mindset saya belum kuat dan belum betul-betul mahu menyusukan si comel saya. Dan disebabkan perkara ini, penyusuan Aariz bermula dengan sangat traumatik. Kami menghadapi stress, kesakitan dan panik, saban hari terutama beberapa hari pertama selepas Aariz bersalin. Kesian awak Aariz, maafkan Ummi, nak.

Dalam kepayahan dan rasa tertekan itu, Alhamdulillah, Aariz masih menerima penyusuan ibu sehingga usianya 11 bulan. Atas aturan Allah, saya hamil lagi dengan anak kedua ketika Aariz mencecah 11 bulan. Begitu cantik kan Allah tuliskan ceritera hidup kita? Semuanya sudah disusun Dia.

Kali ini, saya berjanji pada diri dan suami, tidak mahu terjadi seperti dulu lagi. Dari saat pertama nampak 2 garisan pada UPT hingga sampai masa nak melahirkannya, hati ini tak pernah putus berazam dan berdoa mahu menyusukannya sehingga 2 tahun, walau apa pun fasa yang perlu dilalui. Yeah, bring it on

Alhamdulillah, walaupun bersalin secara emergency cesarean, Aydin berjaya menyusu selepas kelahirannya dan sepanjang berada di hospital. Jadi, saya lebih yakin. Penyusuan berterusan sehingga hari ini (Aydin sudah 2 tahun 2 bulan), Alhamdulillah. 

Seperti anda, saya juga seorang ibu yang mengalami masalah bengkak susu, ketulan, susu merudum (bila tiba waktu datang bulan terutamanya), dan rasa letih semasa penyusuan anak-anak saya. But, despite of those breastfeeding challenges I faced along the way, saya berjaya melengkapkan penyusuan Aydin sehingga 2 tahun. 

Tips ini telah membantu saya berjaya memulakan penyusuan dengan baik dan masih bersemangat sehingga hari ini. 7 perkara yang menjadi amalan saya sepanjang kehamilan Aydin ialah:


1. RESET MINDA

Doa ibu adalah doa yang sangat mustajab. Betapa berkatnya doa ibu, hanya dengan lintasan hati kita sahaja, Allah akan memakbulkan perkara itu dengan izin-Nya. Jadi apa sahaja yang difikirkan kita, akan menjadi kenyataan jika dimakbulkan oleh Allah.

Tanamkan dalam diri, minda dan hati ketika bayi masih belum dilahirkan ini, bahawa anda akan menyusukannya sampai 2 tahun lengkap usianya. Susu anda pasti cukup sehingga 2 tahun itu.

Ulang ayat ini setiap hari. Setiap kali anda memegang dan membelai perut anda yang sudah makin membesar itu.


2. KELAS PENYUSUAN

Kalau dahulu sebelum berkahwin anda tak pandai memasak, bila dah kahwin sanggup memperuntukkan masa untuk belajar memasak dari kelas-kelas, mendapatkan buku-buku resepi, atau belajar dengan ibu mertua sehingga mahir. 

Sama juga dengan penyusuan. Peruntukkan masa untuk menghadiri kelas atau seminar penyusuan untuk belajar dengan lebih terperinci tentang penyusuan. Dapatkan bahan bacaan mengenai breastfeeding, dan make time to read them. ~ Jangan ler beli saja, tapi bacanya tidak. Hihi. ~


3. BERKONGSI ILMU

Berkongsi pelajaran dari kelas atau artikel yang dibaca dengan suami, ibu atau rakan-rakan anda. Sebenarnya kita akan menambah pemahaman dalam sesuatu perkara atau ilmu yang diperolehi jika kita kongsikan ilmu itu dengan orang lain. 

Pesanan penaja: Terima kasih suamiku kerana sanggup menerima longgokan ilmu penyusuan sepanjang kehamilan anak kita. 


4. BREAST MASSAGE

Sejak dari 6 bulan usia kandungan, saya mula mengamalkan breast massage. Saya percaya, urutan perlahan pada payudara boleh membantu melonggarkan saluran susu dan membantu kita melegakan rasa kurang selesa pada bahagian payudara semasa hamil. Saya juga mengamalkan urutan dan picitan pada bahagian tampuk hitam apabila usia kandungan mula mencecah 8 bulan. 

Alhamdulillah, cecair kolostrum sudah mula keluar dari usia kandungan 8 bulan. (Maka lebih confident nak menyusu..)


5. SURAH AL-HUJURAT

Memetik perkongsian Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood antara amalan bacaan surah oleh ibu hamil adalah Surah Al-Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu dan supaya anak mempunyai sifat berhati-hati. Surah ini menjadi amalan saya setiap hari semasa mengandung kali kedua, tanpa jemu, dengan niat mahu dipermudahkan penyusuan selepas kelahiran bayi nanti.


6. PEMAKANAN SIHAT

Jika semasa kehamilan Aariz dulu, saya masih culas-culas memasak, berbeza dengan situasi semasa kali kedua mengandung. Saya amat menitikberatkan pengambilan makanan saya. Saya sebolehnya akan memasak di rumah dan mengelakkan makanan yang tidak sihat. Lebihkan makan buah-buahan dan sayuran. Minum air masak yang banyak berbanding air manis. Badan lebih kuat kerana mengamalkan makanan yang sihat.


7. KURMA

Dahulu saya bukanlah seorang yang begitu menggemari kurma. Tetapi sejak menjadi seorang ibu, saya begitu kagum dengan kelebihan yang dimiliki buah ini, terutamanya buat ibu hamil dan menyusu. 

MashaAllah, no wonder Rasulullah SAW sangat menggalakkan ibu hamil dan menyusu makan kurma. Saya bertenaga dan sihat sepanjang kehamilan, dapat meneruskan puasa di bulan Ramadhan dengan baik. Efeknya kepada penyusuan pula sangat menggembirakan saya, susu ibu lancar selepas kelahiran Aydin, penyusuan dimulakan dengan sempurna seperti yang saya mahukan.



Saya sudah merasai saat perit dan sedih kerana tidak tahu menyusukan anak dengan baik. Saya juga sudah melalui detik-detik penyusuan yang bermula dengan mudah. Tips ini akan berjaya jika dilakukan dengan niat yang mendalam. Tujuan saya berkongsi 7 perkara ini adalah supaya anda lebih bersedia menempuhi penyusuan, dan tidak perlu melalui saat-saat getir yang sudah saya tempuhi.



Saya doakan anda semua berjaya memulakan penyusuan dengan mudah. 



Sertai Seminar PRAKTIKAL Mudahnya Menyusu cikgu kalau betul-betul nak berjaya menyusu. Seminar seterusnya di:

07 Jun - Kelana Jaya
13 Jun - Kuching, Sarawak
14 Jun - Kota Kinabalu, Sabah

Daftar di sini: mudahnyamenyusu.gr8.com



Cikgu Susu Anda
www.pumponthego.com







Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

Thursday, 21 May 2015

11 TIPS PENYUSUAN SEMASA HAMIL




Dalam badan seorang ibu, ada 4 hormon yang mempengaruhi proses penghasilan dan pengeluaran susu. Hormon itu adalah:

  1. Hormon Prolaktin: hormon penghasilan susu.
  2. Hormon Oksitosin: hormon yang dirembes semasa pengeluaran susu, atau dikenali dengan hormon cinta.
  3. Hormon Estrogen dan Progesteron: bertindak sebagai ‘tentera’ yang 'membina’ atau menggalakkan pertumbuhan kelenjar susu semasa proses kehamilan.
Semasa ibu yang masih menyusu hamil lagi, badan akan mengalami perubahan hormon. Hormon prolaktin iaitu hormon penghasilan susu akan berkurangan, untuk memberi peluang kepada hormon wanita (estrogen dan progesteron) melakukan tugasnya. Hormon estrogen dan progesteron meningkat pada kadar yang tinggi untuk menyediakan payudara dengan jentera kilang susu kepada bayi dalam kandungan, selain membantu badan ibu menerima kehadiran bayi dalam sistem tubuhnya.

Apabila hormon prolaktin menurun, penghasilan susu akan berkurang, ini adalah satu proses yang normal kerana hormon prolaktin berkadar songsang dengan hormon estrogen dan progesteron.

Hormon oksitosin pula adalah hormon yang dirembeskan semasa ada rangsangan pada puting payudara ibu. Apabila otak merembeskan oksitosin, hormon ini menghantar signal untuk mengecutkan otot di sekitar payudara ibu, menyebabkan pengeluaran susu terjadi. Oksitosin juga menghantar signal kepada tisu uterus (rahim) untuk mengecut.



Bolehkah menyusu semasa hamil?

Penyusuan bukan hanya proses memberikan susu ibu kepada anak anda, tetapi juga satu proses yang menyokong pertumbuhan emosi dan psikologi anak. Ya, ibu boleh meneruskan penyusuan seperti biasa. Sesetengah pendapat menyatakan, meneruskan penyusuan semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran awal / pramatang. Sebenarnya tiada kajian khas mengenai hal ini. Tetapi pendapat ini mungkin ada rasionalnya. Sebab apabila ada rangsangan pada kadar tinggi pada puting payudara, ia mungkin berpotensi menyebabkan kontraksi pada uterus disebabkan kehadiran hormon oksitosin tadi. 

Jadi, nasihat saya teruskan penyusuan anak anda seperti biasa, mungkin anda boleh mengelakkan pengambilan milk booster yang banyak atau melakukan teknik-teknik tertentu yang mungkin terlalu agresif atau kerap semata-mata mahu meningkatkan semula kuantiti susu. 

Utamakan penyusuan bayi secara terus (direct feeding) seperti biasa dan sesi memerah seperti biasa. Penurunan kuantiti susu adalah normal untuk ibu mengandung kerana perubahan hormon yang saya ceritakan di awal artikel ini.



Bagaimana pula jika ibu mengalami sakit perut semasa menyusu dan berterusan walau selepas menyusu?

Jika anda mengalami sakit di bahagian belakang pinggang, sakit di bahagian ari-ari, atau pendarahan secara berterusan, seeloknya kurangkan sesi menyusu atau memerah dan pertimbangkan untuk memberhentikan penyusuan secara perlahan-lahan kerana simptom-simptom ini mungkin tanda-tanda berlaku kontraksi pada uterus yang mungkin boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Namun begitu, biasanya rahim akan menerima signal kontraksi jika kandungan sudah berusia 6 bulan dan ke atas. 

Jika ada rasa sakit tetapi tidak berterusan (hanya semasa menyusu sahaja) ianya masih normal. Sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh singkatkan tempoh masa penyusuan untuk satu-satu sesi.

Jika tiada simptom-simptom tersebut, teruskan menyusu seperti biasa. Dehidrasi (kekurangan air) juga boleh menyebabkan kontraksi. Jadi, minum air yang mencukupi dan pastikan anda mengamalkan pemakanan sihat supaya sentiasa bertenaga.
Saya menyarankan anda melihat semula sejarah kehamilan yang lepas, jika pernah mengalami perkara di bawah, monitor penyusuan semasa hamil kali ini. Jika mengalami simptom kontraksi seperti yang disebut dalam perenggan sebelum ini, pertimbangkan untuk mengurangkan atau menghentikan penyusuan semasa hamil:

1. Anda pernah mengalami keguguran.
2. Anda pernah mengalami pendarahan semasa kehamilan lalu.
3. Anda pernah mengalami pendarahan (tumpah darah) selepas bersalin.
4. Anda sedang hamil bayi kembar.

Perkara 1-3: mungkin menunjukkan yang ibu mempunyai rahim yang agak sensitif.

Perkara ke-4: dikhuatiri boleh merisikokan kandungan jika masih meneruskan penyusuan semasa hamil (walaupun sudah mengalami sakit di bahagian belakang pinggang, sakit di bahagian ari-ari, atau pendarahan).



11 Tips penyusuan semasa hamil

1. Sebagai seorang ibu, apa sahaja perbuatan dan niat anda mesti diserahkan sepenuhnya kepada Allah Maha Pencipta. Niatkan secara spesifik untuk dicukupkan susu dan diberikan kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan penyusuan dan kehamilan dengan baik. 

2. Dapatkan nasihat dan pengesahan doktor mengenai tahap kesihatan anda dan bayi dalam kandungan sebelum meneruskan penyusuan semasa hamil.

3. Mempertimbangkan sejarah kehamilan yang lepas sebelum membuat keputusan meneruskan penyusuan semasa hamil.

4. Bagi ibu hamil yang mengalami mual atau morning sickness, amalkan memakan biskut atau snack ringan bagi menghilangkan rasa loya semasa sedang menyusu. 

5. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat untuk menyokong tubuh anda, ingat anda sedang menyediakan makanan untuk si abang/kakak yang masih menyusu, DAN juga bayi di dalam kandungan. Mesti sihat dan bertenaga ya ibu!

6. Bersedia untuk menghadapi masalah luka puting. Kerana semasa kehamilan, perubahan hormon dalam badan boleh menyebabkan kawasan areola dan puting menjadi sensitif, sesetengah ibu mengalami luka di bahagian ini! Jadi, jika anda mengalami masalah ini, anda boleh meneruskan penyusuan tetapi dalam tempoh yang singkat untuk satu-satu sesi.

7. Sebagai persediaan mengalami susu merudum (normal semasa hamil kerana perubahan hormon), tambahkan pemberian makanan pelengkap dan minuman kepada anak anda untuk menyokong keperluan kalori dan nutrisi yang digunakan untuk pertumbuhan badannya, terutamanya jika anak anda sudah berusia lebih dari satu tahun.

8. Apabila kandungan makin membesar, pasti anda kurang selesa semasa menyusu, cuba dan variasikan posisi semasa menyusu supaya anda dan anak anda dapat menyusu dengan selesa. Posisi menyusu sambil berbaring (mengiring) selalunya lebih selesa.

9. Minum air yang banyak untuk memastikan badan cukup air (hydrated). Kekurangan air boleh menyebabkan anda pening dan mengalami kontraksi.

10. Mendapat kolostrum semaksimum mungkin sangat penting bagi bayi yang baru lahir. Tumpukan penyusuan kepada bayi yang baru lahir selepas bersalin supaya bayi ini mendapat kelebihan kolostrum yang diperlukan badannya. 

11. Berkenalan dengan ibu yang pernah menyusu semasa hamil atau ibu yang menyusukan 2 anak serentak. Bertukar-tukar pendapat dan pengalaman sangat membantu dan menyokong anda sepanjang kehamilan.




Selamat Menyusu Ibu!


Rujukan:
www.kellymom.com


Sertai Seminar PRAKTIKAL Mudahnya Menyusu cikgu kalau betul-betul nak berjaya menyusu. Seminar seterusnya di:

07 Jun - Kelana Jaya
13 Jun - Kuching, Sarawak
14 Jun - Kota Kinabalu, Sabah

Daftar di sini: mudahnyamenyusu.gr8.com



Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
www.pumponthego.com




Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow