Wednesday, 24 June 2015

WAHAI IBU MENYUSU YANG BERPUASA , 6 PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM




Soalan Ibu:

"Assalamu'alaikum sis zuain aka cikgu susu. Memasuki bulan ramadhan ini, saya ada sedikit kerisauan. Baru tadi saya baca tips berpuasa di bulan ramadhan bagi ibu menyusu. Tapi belum lagi puas kerana saya memerlukan nasihat dari cikgu. Saya buntu. Stok susu hanya tinggal 7 botol sahaja. Setiap hari anak saya minum 2 botol selama 7 jam saya tinggalkan dia. Anak saya jenis yang tak minum banyak sangat walaupun dia lelaki. Kerana itu, susu saya selepas habis pantang tidak banyak. Sekali pam dari kedua-dua belah, saya dapat 3oz satu sesi. Sikit kan, cikgu. Silap saya juga kerana awal-awal dahulu anak saya boleh tidur sepanjang malam tanpa menyusu. Saya fikir, wah... Senangnya tak perlu bangun malam susukan dia frown emoticon selepas itu saya rasakan susu saya semakin berkurang.
Saya hanya mengepam di sekolah sebanyak 2 kali, jarak masa 3 jam. Sekarang ni cikgu, breast saya jadi lembik dan jika saya mengepam selepas 3 jam dari sesi sebelumnya, sangat sedikit susu yang keluar. Tak sampai 1oz pun dari kedua-dua belah breast. Macam mana ya cikgu? Apa yang perlu saya buat?
Dan lagi 1 masalah saya, saya belum jumpa milkbooster yang sesuai dengan saya. Saya dah cuba coklat moms 4 kotak, habbatussauda, jamu air susu ibu, kurma, Esp shaklee " 
- Puan R



Jawapan Cikgu Susu:

Ibu, penghasilan susu bergantung kepada paras hormon prolaktin dalam tubuh. Paras hormon ini pula bergantung kepada kekerapan ibu memerah / mengosongkan payudara. Menurut cerita di atas, kemungkinan besar paras prolaktin dah mula menurun sejak payudara tidak dikosongkan pada waktu malam (sewaktu anak tidur lena tanpa menyusu sepanjang malam, payudara pula tidak diperah untuk dikosongkan) dan sesi memerah yang tidak cukup sebagai ibu bekerja.

6 perkara yang anda perlu tahu:

1. Secara puratanya, keperluan bayi untuk 1 kali minum (bagi bayi yang minum susu ibu) hanyalah 2-3 oz atau 3-4oz sahaja sekali minum.

2. Secara puratanya, ibu yang normal dapat menghasilkan 3-4oz pada satu sesi memerah. Jadi, bersyukurlah kerana anda masih dalam kategori normal.

3. Ibu bekerja perlu memerah dengan kerap untuk memastikan paras hormon prolaktin tidak menurun. Jika hormon prolaktin menurun susu juga merudum.

4. Tidak terlalu bergantung kepada stok susu yang sudah dikumpulkan sebelum ini.

5. Perlu ada target jumlah kuantiti susu yang wajib dicapai setiap hari. Jadi anda harus berusaha mendapatkan kuantiti susu ini setiap hari. >>> Dengan cara ini, badan dapat melakukan adjustment untuk hasilkan susu mengikut demand ini.

6. Bila ibu kurang air dan nutrisi (dari makanan yang sihat), susu yang dihasilkan juga akan berkurangan.


Melihat kepada situasi ibu ini di bulan puasa, hasil perahan kurang dari 1oz menandakan ibu kekurangan air (dehidrasi). Jadi ibu harus menitikberatkan pemilihan menu makanan dan pengambilan air yang cukup sejak dari berbuka sehingga bersahur untuk mengurangkan masalah dehidrasi ini. Ada ibu, susunya maintain sahaja pada bulan puasa kerana betul-betul konsisten dengan pemakanan dan rutin ibu menyusu walaupun sedang berpuasa.

Saranan penyelesaian untuk ibu ini:

1. Tingkatkan semula hormon prolaktin dengan menambahkan kekerapan memerah (apabila tidak bersama bayi) dan kekerapan menyusu bila bersama bayi. 
2. Atau lakukan powerpumping pada waktu malam untuk meningkatkan kadar prolaktin dengan lebih cepat.
3. Elakkan skip sesi memerah waktu siang ini, sebab ia akan mengekalkan paras hormon prolaktin dalam badan walaupun hasil perahan berkurang semasa berpuasa.
4. Jika hasil sesi memerah waktu siang tidak cukup / tidak mencapai target kuantiti yang bayi perlukan sehari, tambah sesi memerah di rumah.
Sama ada selepas berbuka puasa atau sebelum tidur atau mana-mana waktu yang sesuai bermula selepas berbuka sehingga bersahur.
5. Amalkan Tips Maintain Susu di bulan puasa dari blog cikgu dengan istiqamah.
6. Banyakkan memakan makanan yang boleh meningkatkan paras hormon prolaktin seperti:

- OATS, BARLI, GANDUM
- LADA HITAM , BAWANG PUTIH
- BAYAM HIJAU
- KACANG PIS
- SALMON, TUNA
- MADU LEBAH
- KACANG KUDA, BADAM
- HALBA
- ASPARAGUS, LOBAK MERAH, DAUN SELERI, SALAD
- BAWANG MERAH, KENTANG

7. Elakkan mengambil terlalu banyak jenis milk booster pada satu masa. Jika ini berlaku bukan sahaja anda tidak sempat merasai kesan kepada peningkatan susu, bahkan ia menjadi umpama hanya menambah unsur untuk dicernakan oleh badan. Elements to be digested are overloaded, thus milk boosters might not make wonders to your milk supply anymore, because they drained out the water from your body instead. 
Milk booster bukanlah pil magik, ia membantu mempercepatkan penghasilan susu semula jika ibu mengamalkan rutin ibu menyusu dengan konsisten.

8. Allah telah memberi kelonggaran kepada ibu yang hamil dan menyusu yang berpuasa untuk membuka puasa atau tidak meneruskan puasanya di atas sebab kesihatan dan jika risaukan keadaan diri dan anak tidak cukup susu. Gunakan rukhsah ini sebaiknya berdasarkan keadaan anda dan bayi anda, setiap ibu tidak sama, lihat kemampuan anda. 
Tetapi, saya galakkan anda mencuba dahulu tips yang saya berikan hari ini dan juga dalam blog sebelum ini. Usah terus mengalah jika masih boleh berusaha. Allah sangat sukakan hamba-Nya yang bertawakal dan melakukan usaha yang bersungguh-sungguh. Berdoalah kepada Allah untuk dicukupkan rezeki susu untuk anak, tambahkan amalan rohani anda.

Semoga anda dikurniakan dengan pahala berlipat kali ganda dengan usaha dan amalan anda. InshaAllah.







Cikgu Susu Anda








Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow



Wednesday, 10 June 2015

11 TIPS MAINTAIN SUSU DI BULAN PUASA


Tips ini telah saya nukilkan tahun lepas di blog saya dulu. Ada beberapa pembaharuan cikgu nak kongsikan pada tahun ini. Harapan saya anda semua dah habis ganti puasa lah ya.

Memetik artikel Ramadhan dan Penyusuan Ibu dari laman web IKIM: "Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan."

Ianya normal jika kuantiti susu sedikit berkurang semasa bulan puasa kerana ibu tidak makan dan minum pada siang hari. Pernah dengar frasa susu ibu custom made? Susu ibu akan terus dihasilkan seperti biasa bila ada demand yang berterusan dan komposisi susu ibu yang dihasilkan mengikut apa yang anda makan dan minum. 

Usah risau kekurangan susu sebab badan sendiri akan adjust komposisi susu, walaupun kuantiti sedikit berkurang dari biasa, nutrisi yang terdapat dalam susu ibu pasti masih cukup untuk keperluan bayi anda. Namun begitu anda masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan penghasilan susu masih optimum dan tidak berkurang secara mendadak. 


Cikgu galakkan anda mengamalkan tips ini:

1 [MIND SET]

Apa yang kita fikir
Apa yang kita cakap
Apa yang kita rasa dan 
Apa yang kita buat
Adalah hantaran doa kepada Allah

Allah mengikut sangkaan hamba-Nya. 

Tips pada bulan puasa - sentiasa POSITIF bahawa susu ibu pasti ada dan CUKUP untuk si comel kita.

Doa seorang ibu adalah doa yang senang makbul. Selalu saya mengingatkan anda yang pernah hadir ke seminar saya, apa sahaja yang anda lintaskan di hati pasti jadi kenyataan jika Allah ingin memakbulkannya, tak perlu menanti duduk bertelekung di sejadah menadah tangan. 

Bukankah apabila Allah berkata kun (jadilah) fayakun (maka jadilah)? Jika Allah izinkan ia berlaku, bila-bila masa sahaja apa yang anda hajatkan akan jadi kenyataan.

So, be careful with what you wish for, mommies! 

Wish and pray for good things ya!



2 [KEKERAPAN MENGEPAM]

Tambahkan kekerapan mengepam (dan konsisten dengan jadual ini) sebulan sebelum bulan Ramadhan. Ini untuk mewujudkan demand yang tinggi terhadap susu ibu. Ironinya, jika kurang kekerapan maka kuranglah penghasilan susu.

Dengan menambah kekerapan menyusu/ memerah sebulan atau sekurang-kurangnya seminggu sebelum menjalani puasa, anda meningkatkan kadar hormon prolaktin dalam tubuh. 

*Hormon prolaktin kerjanya menggalakkan kilang susu menghasilkan lebih banyak susu.



3 [JADUAL MENGEPAM]

Pastikan ibu mematuhi jadual mengepam setiap hari seperti biasa sepanjang bulan puasa untuk memastikan demand yang berterusan kepada breast

Berikut adalah contoh jadual mengepam di bulan puasa (bagi ibu yang masih buntu atau belum ada jadual mengepam yang konsisten):

Sesi 1 - selepas sahur atau sebelum Subuh. Pada masa ini, hormon prolaktin tinggi, biasanya kuantiti susu lebih meriah berbanding waktu lain. 

Sesi 2 - Pam pada waktu tengahari, jam 12.

Sesi 3 - Pada belah petang sebelum pulang ke rumah.

Sesi 4 - Sebelum tidur (agak-agak jam 11/12 malam)

*Jika ibu rasa terlalu letih untuk mengepam pada siang hari, tambahkan sesi mengepam pada waktu malam. 

PERINGATAN: Banyak demand, banyaklah supply ya!



4 [TANDEM PUMPING]

Bagi membantu anda menjayakan penyusuan sepanjang bulan puasa, pada masa yang sama mendapatkan stok yang cukup untuk bayi sewaktu anda bekerja, saya galakkan anda mengamalkan tandem pumping bila sahaja anda bersama bayi anda. Ya, walaupun pada waktu malam.

Selain melengkapkan penyusuan dan bonding session bersama bayi anda (kerana inilah tujuan utama kita breastfeeding ya mommies), anda masih boleh mengumpul stok dengan cepat. Sambil menyelam minum air lah katanya.

*Tandem pumping tu sebelah menyusu, sebelah memerah ya mommies. Gunakan posisi football hold supaya bayi dan ibu selesa.



5 [POWERPUMPING SEMINGGU SEKALI]

Buat powerpumping sekali seminggu untuk create demand kepada breast ibu (untuk hantar signal kepada badan hasilkan susu yang lebih banyak)Waktu ideal adalah antara jam 12 malam hingga 6 pagi. Ibu pilihlah waktu yang paling lapang dan sesuai dengan ibu. 

Pada waktu ini hormon prolaktin sangat tinggi, jadi kita nak take advantage pada kehadirannya yang 'ramai' tu, maka kilang susu lebih produktif!

# Habis powerpumping, boleh tunaikan Tahajjud atau Qiam pula kan*



6 [PENGAMBILAN AIR]

Kandungan utama susu ibu adalah air. Pastikan ibu minum air yang cukup dari tempoh selepas berbuka puasa sehingga ke waktu bersahur. Ibu digalakkan meminum AIR SUAM dan jika boleh elakkan ais ya! Air suam membantu percepatkan pengaliran bendalir dalam badan. 

Listen to your body mommies. Periksa warna urin anda untuk menentukan anda cukup air atau tidak. Tanda cukup air, urin berwarna jernih dan tidak berbau. Jika urin berwarna keruh dan berbau, bermaksud anda tidak cukup air dalam badan. Hati-hati kerana ia boleh buat anda pitam dan pening kepala pada siang hari.

*Untuk elakkan dehydration pada bulan puasa, minum air suam sebelum & selepas menyusu/mengepam pada waktu malam. Seeloknya, minum 1 gelas air suam, setiap 1 jam. 1 gelas air = 250-350ml sahaja, dan mengikut saiz tubuh sendiri juga (bukan 1 liter air sekali minum ye). 



7 [REFILL & RECOVER]

Anda telah kehilangan banyak tenaga dan air setiap kali selepas menyusu dan memerah. Jadi setiap kali selepas menyusu/memerah, anda digalakkan makan dan minum. Amalkan ini pada bermula waktu berbuka sehingga waktu sahur ya.

Makanan yang perlu diambil tidak semestinya 2 pinggan nasi lemak atau 3 mangkuk laksa (ini proses menambah lemak dalam badan ~hihihi~). Memadai dengan meminum susu/horlicks/ milo panas bersama roti, pun dah ok ya.

Breast akan cepat refill selepas makan dan minum kerana paras air dan tenaga yang hilang tadi sudah ditingkatkan semula.



8 [JUADAH BERBUKA / PEMAKANAN]

Bulan Ramadhan
Banyak Bazar
Makanan sedap sedap enak enak
Wah rambang mata

Nabi S.A.W mengajarkan kita, bulan Ramadhan adalah pesta ibadat, bukannya pesta makanan ya ibu-ibu.

Hati-hati dalam memilih juadah berbuka ya ibu. Elakkan makanan berminyak dan terlalu pedas. Seeloknya banyakkan makanan yang dimasak dengan cara panggang, rebus atau stim. Ini kerana badan kita akan mengesan makanan berminyak, pedas dan berempah sebagai makanan yang sukar dicernakan. 

Selain mengambil masa yang lama untuk diproses, ia juga akan menggunakan banyak air dalam tubuh kita. Hat air yang kita nak reserve untuk buat susu tu dah diguna dulu untuk cerna makanan-makanan ni. Maka, ia menyebabkan kita kekurangan air

Elakkan mengamalkan diet keras seperti menghentikan pengambilan karbohidrat dan protein pada bulan puasa kerana ianya nutrisi penting untuk menghasilkan susu ibu. 

Tambahkan dengan pengambilan buah-buahan pada waktu malam kerana buah-buahan tinggi kandungan fiber dan mempunyai kandungan jus atau airnya.



9 [KURMA]

Kurma adalah buahan syurga yang amat ajaib untuk ibu mengandung dan menyusukan. Banyakkan memakan kurma selepas berbuka puasa sehingga waktu sahur untuk tenaga berpanjangan.

Buat macam snack aje pun sedap. Breast cepat rasa penuh. InshaAllah. Berikut tips pengambilan kurma saya semasa bulan Ramadhan yang lepas:

1. 3 biji semasa berbuka puasa.

2. 3-5 biji semasa moreh - skip kueh mueh manis leting ya ibu-ibu.

3. 1-2 biji semasa bangun menyusu waktu malam - sebelum tidur sediakan 1 bekas berisi buah kurma dan 1 bekas berisi air suam. 

4. 3 biji sebagai penutup sahur - saya suka buat kurma milkshake untuk sahur.


#Ada disebutkan dalam Al-Quran tentang kelebihan kurma untuk ibu mengandung dan menyusukan..SubhanAllah





10 [BERSAHUR]

Ibu, amalkan sahur setiap hari. Lambatkan sahur supaya makanan yang diambil semasa sahur menjadi sumber simpanan tenaga untuk meneruskan penyusuan dan puasa dengan baik pada siang hari.

Makanan yang amat sesuai untuk ibu menyusu semasa sahur adalah seperti:

- nasi
- kentang
- kurma
- roti
- pisang
- oats
- sup

Kurangkan makanan / lauk yang tinggi kandungan garam, pedas, berminyak dan berempah kerana makanan seperti menjadikan anda cepat merasa dahaga dan letih.




11 [BERTAWAKAL DAN BERSERAH KEPADA ALLAH]

Kita harus berusaha, berserah dan bertawakal kepada Allah. Berdoa dan memohon supaya dicukupkan susu ibu untuk anak dan berdoa dikurniakan rezeki kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan puasa dengan baik.

Islam agama yang mudah dan memudahkan. Jika anda mengalami situasi yang menyebabkan anda tidak dapat meneruskan puasa disebabkan komplikasi kesihatan terutamanya, Islam memberi rukhsah puasa buat ibu menyusu.




#Notakaki: Tips ini boleh diamalkan selain dari bulan puasa juga ya. Jom mula sekarang!



Selamat menempuhi ibadah puasa ibu. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!


















Cikgu Susu Anda








Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

Friday, 5 June 2015

5 SEBAB PENGHASILAN SUSU KIRI DAN KANAN TAK SEIMBANG

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Soalan ibu:

Kuantiti perahan di kiri dan kanan breast saya tak sama banyak, sekali perah sebelah kiri dalam 4oz, sebelah kanan dapat 1oz sahaja . Kenapa ini berlaku ya?








Jawapan Cikgu Susu:

Assalamualaikum.

Kerap kali saya mendapat soalan dari ibu berkenaan penghasilan susu di kiri dan kanan payudara tidak seimbang. Sebenarnya ramai dari kita yang mengalaminya termasuklah saya sendiri (di awal penyusuan Aydin). Disebabkan perkara ini, kadangkala ada ibu merasakan saiz payudara di kiri dan kanan juga tidak sama, ada yang besar sebelah! Aduh, tak cantik pula mata sendiri memandang.

Mari kita lihat apakah antara sebab berlakunya perkara ini:

1. Aliran susu yang perlahan, terlalu laju atau susu mula berkurang.

Biasanya bayi akan lebih menggemari payudara yang mempunyai aliran susu yang selesa kepadanya. Aliran susu yang terlalu perlahan menyebabkan bayi marah kerana tidak mendapat susu yang diinginnya (terutamanya di sudah terlalu lapar waktu itu).

Manakala aliran susu yang terlalu laju membuatkan bayi tersedak dan melepaskan hisapan pada payudara itu. Jika susu ibu mula berkurangan, aliran susu juga menjadi perlahan berbanding sebelumnya, jadi ini juga boleh membuatkan bayi menolak menyusu di payudara itu.

2. Bayi suka menyusu di sebelah payudara sahaja.

Perkara ini juga agak common di kalangan ibu dan bayi. Sesetengah bayi hanya gemar menyusu di sebelah payudara sahaja. Selain dari hanya menurutkan kemahuan bayi, ibu boleh mencuba pelbagai posisi menyusu untuk membantu bayi menyusu dari kedua-dua belah payudara.

Antara posisi yang ibu boleh amalkan adalah posisi mendakap (Football Hold) untuk membantu bayi menyusu dari sebelah payudara yang kurang digemari itu. Dalam beberapa kes yang pernah saya kendalikan, hanya dengan menukar posisi semasa penyusuan membantu bayi menyusu dengan baik dari kedua-dua belah payudara ibu.

3. Ibu suka menyusukan bayi di sebelah payudara sahaja.

Percaya atau tidak, sebenarnya kadang-kadang ibu sendiri suka susukan bayi di sebelah payudara sahaja, kerana dirasakan payudara sebelah menghasilkan lebih banyak susu berbanding yang satu lagi. Apabila hanya sebelah payudara kerap disusukan kepada bayi, maka rangsangan pada payudara yang ini lebih tinggi menyebabkan ia lebih produktif berbanding yang lagi sebelah. 

4. Keadaan payudara ibu.

Adalah normal jika seorang ibu mempunyai lebih banyak kelenjar susu berbanding di sebelah payudara berbanding sebelah lagi. Jadi payudara itu menghasilkan lebih banyak susu daripada payudara yang sebelah lagi.

5. Pernah melakukan pembedahan atau mengalami kecederaan pada payudara.

Jika ibu pernah melakukan pembedahan atau mengalami kecederaan pada mana-mana payudara, kemungkinan ia boleh mempengaruhi keadaan kelenjar susu atau saluran susu di dalam payudara itu.



Walaubagaimanapun, kuantiti penghasilan susu di mana-mana belah payudara tidak menentukan berjaya atau gagal anda untuk menyusukan anak anda. 

Bersyukurlah jika masih berjaya menyusukan anak anda sehingga detik ini. Penyusuan ibu adalah satu anugerah buat insan yang bergelar ibu. 

Dapatkan bantuan dari kaunselor berdekatan anda jika anda mengalami masalah penyusuan.







Sertai Seminar PRAKTIKAL Mudahnya Menyusu cikgu kalau betul-betul nak berjaya menyusu. Seminar seterusnya di:

07 Jun - Kelana Jaya
13 Jun - Kuching, Sarawak
14 Jun - Kota Kinabalu, Sabah

Daftar di sini: mudahnyamenyusu.gr8.com



Cikgu Susu Anda
www.pumponthego.com







Nak beli breast pump berkualiti? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow