Saturday, 25 July 2015

MASIHKAH ADA LAGI PELUANG UNTUK DIRECT FEEDING SEMULA?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Soalan ibu:


Assalam cikgu, bayi saya dah nak masuk 4 bulan hujung bulan ni. So far hanya minum susu dari botol sahaja. Pernah direct feeding tapi masa berpantang, saya terlalu penat dan bayi macam tak puas menyusu, sangat kerap menyusu dan lepas menyusu menangis nak lagi. Sekarang saya rasa mahu cuba direct feeding semula anak saya. Masih ada peluang ke cikgu?


Jawapan Cikgu Susu:

Tahniah atas keberanian anda untuk terus memberikan yang terbaik kepada anak anda. Penyusuan ibu melengkapkan keperluan fizikal dan rohani bayi. Ya, anda masih ada peluang untuk direct feeding semula. Pasti anda pernah mendengar frasa ini:

Keperluan bayi:
Food from mother's breast (makanan dari payudara ibu)
Warmth from mother's body (kehangatan pelukan ibu)
Security from mother's presence (rasa selamat dengan kehadiran ibu)
Breastfeeding fullfills all these (penyusuan ibu melengkapi keperluan ini)

Apabila ibu menyusukan bayi, ibu akan memberikan semua di atas kepada bayi. Apa kesannya? Kita akan melatih bayi untuk lebih mudah menyesuaikan diri dengan alam baru. Kehidupan di alam dunia sangat berbeza dengan alam rahim, yang sentiasa dekat dengan ibu. Semasa di dalam kandungan, bayi sentiasa mendengar suara ibu, degupan jantung ibu, dan rasa panas dari air ketuban, jadi bayi sangat selesa dan gembira.
Selepas lahir, bayi dipisahkan dari ibu, menjadikan bayi tidak tenang dan sentiasa menangis. Inilah sebabnya bayi kerap menangis apabila tidak bersama ibu selepas lahir. Bukan kerana susu tidak cukup (anggapan sesetengah ibu kali pertama).
Cikgu nak perdengarkan satu cerita yang pernah dikongsikan oleh salah seorang peserta Seminar Mudahnya Menyusu cikgu dulu. Bayinya hanya minum susu ibu melalui botol sahaja dari lahir. MashaAllah, sungguh kuat ibu ini berusaha tanpa pernah kenal erti putus asa. Apa yang dilakukan ibu ini adalah dengan mengamalkan kendong bayi (baby wrap) dengan kerap apabila bersama bayi walaupun di rumah. Tidak pernah terfikir akan kegagalan, beliau meneruskan amalan dan usaha itu dengan sepenuh harapan Allah akan makbulkan permintaan beliau untuk menyusukan anaknya secara direct feeding suatu hari nanti. Dalam kendongan bayi, bayi menjadi sangat selesa dengan pelukan ibu dan bau badan ibu walaupun minum susu dari botol sahaja pada waktu itu. Sehinggalah usia si comelnya 8 bulan, bayinya mahu menyusu secara direct feeding semula.
Jadi, saranan cikgu kepada anda adalah dengan melakukan teknik skin-to-skin setiap kali mahu menyusu (atau setiap 1-2 jam). Pastikan bayi dalam keadaan tenang dan rileks. . Signal terbaik adalah dari bayi sendiri iaitu mengecap-ngecap bibir, menghisap bibir/jari dan menggeliat (jika sedang tidur).
Jika jarak masa antara sesi menyusu terlalu lama bayi akan menjadi terlalu lapar, maka ia buat bayi tak tenang dan menangis dengan kuat. Penyusuan dalam keadaan memaksa seolah-olah berikan pengalaman yang tidak manis untuk bayi. Benar, ia tidak semudah yang disangka, perlukan konsistensi dan semangat yang kuat. Dan yang paling penting, mesti percaya dengan kuasa Allah. Sentiasa berdoa mohon bantuan dari-Nya. 

Amalkan cara di bawah untuk membantu bayi menyusu secara direct feeding semula:

1. Wujudkan suasana tenang dan sunyi di dalam bilik. Elakkan gangguan orang lain, tv, radio dan handphone. Hanya anda dan bayi sahaja.

2. Suhu di dalam bilik tidak terlalu sejuk dan tak terlalu panas.

3. Buka bedung dan baju bayi (jika masih memakainya), pakai lampin (pampers) sahaja. Ibu juga tanggalkan baju dan bra (naked chest).

4. Baringkan bayi di dada ibu. Peluk dan belai bayi dengan penuh kasih sayang. Sesekali berkomunikasi dengan bayi supaya bayi rasa selesa.

5. Biarkan bayi menyentuh bahagian dada sama ada dengan tangan atau dengan mukanya. Bayi akan mula explore payudara dan nipple ibu mengikut fitrah. Breast ibu merembeskan mukus yang mempunyai bau air ketuban dan bau badan ibu di bahagian areola (tampuk hitam). Bau ini yang akan membantu bayi untuk mengenal ibu.

6. Jika bayi dah mula tunjukkan signal seperti mencari-cari puting dan mengecap-ngecap bibir, itu tanda ingin menyusu, betulkan posisi baby dan bersedia untuk menyusukan bayi.

7. Posisi bayi mestilah selari kepala dan badannya. Hidung bayi mesti menghadap payudara ibu.

8. Acah-acahkan puting susu ke ruang antara bibir dan hidung bayi.

9. Pegang kepala bayi dengan meletakkan tapak tangan pada leher bayi, manakala ibu jari dan jari telunjuk di atas telinga bayi. Jari yang lain membantu untuk menyokong pegangan kepala bayi.

Apabila bayi membuka mulut dengan luas (seperti menguap), lekapkan mulut bayi pada payudara, dengan cara menolak sedikit bayi ke arah payudara.

10. Pastikan bahagian areola (tampuk hitam) berada dalam mulut baiy dan bayi bukan hanya melekap pada puting sahaja.

11. Lekapan (attachment) betul: Bibir atas dan bawah bayi terlingkup keluar, pipi bayi kembung, lidah bayi di bawah puting susu dan pattern hisapan "hisap telan, hisap telan". hisapan yang perlahan dan mendalam. Ibu tidak rasa sakit sepanjang menyusu.


NOTA:
*Lakukan skin-to-skin sekerap yang mungkin, semasa mahu menyusu, semasa mandi, dan semasa tidur dengan bayi. Dengan cara ini, ibu akan membiasakan semula bayi dengan penyusuan dari payudara.

*Elakkan memaksa bayi untuk menyusu. Proses penyusuan mesti berlaku dengan tenang. Cuba di waktu lain jika bayi menolak atau memusingkan kepala tanda tidak mahu.

*Lakukan skin-to-skin semasa keadaan bayi tenang, tidak terlalu lapar dan tidak terlalu kenyang. Jika terlalu lapar bayi menjadi tidak tenang, jika terlalu kenyang, bayi tidak mahu berusaha lagi. Jika bayi terlalu lapar, berikan sedikit susu melalui cawan atau sudu sehingga bayi kelihatan tenang dan mulakan skin-to-skin

Sebaik-baiknya, lakukan skin-to-skin apabila bayi dah mula menunjukkan signal awal mahu menyusu (menangis itu tanda akhir ya).


Cikgu doakan yang terbaik untuk anda dan ibu semua.








Cikgu Susu Anda











Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

No comments:

Post a Comment